Bumi Berasal Daripada Apa?

Bumi berasal daripada gumpulan awan dalam angkasa. Ahli sains berpendapat bahawa bumi terbentuk daripada segumpalan besar awan yang berisi gas dan debu, kira-kira 4,500 juta tahun yang lalu. Bintang yang berhampiran dengan awan itu meletup dan menyebabkan awan itu berputar. Semasa awan itu berputar, gas berkumpul di tengah awan dan membentuk matahari. Debu berpusar di sekeliling matahari dan bergabung untuk membentuk ketulan batu. Pada masa yang sama, ketulan batu itu berlanggar antara satu sama lain dan membentuk planet. Bumi merupakan salah satu daripada planet tersebut.

Pada awalnya bumi sangat panas. Apabila batuan berlanggar, keadaan itu memanaskan antara satu sama lain. Semasa bumi terbentuk, batuan di dalamnya mencair. Bumi baharu merupakan sebiji bebola yang berisi batuan cair dengan lapisan kulit nipis yang keras.

Berjuta-juta batuan besar yang dikenali sebagai meteorit jatuh terhempas ke bumi. Meteorit menyebabkan terjadinya lekuk pada permukaan bumi. Lekuk ini dikenali sebagai kawah. Pada masa yang sama, bulan juga dihentam batuan besar. Jika bulan dilihat dengan menggunakan binokular, kamu dapat melihat kawah pada permukaan yang telah terbentuk berjuta-juta tahun dahulu.

Lautan dan laut terbentuk apabila bumi mulai sejuk. Gunung berapi yang meletus, membebaskan wap, gas dan batuan dari dalam bumi. Apabila bumi mulai sejuk, wap berubah menjadi titisan air dan membentuk awan. Semasa bumi menjadi sejuk, hujan turun dari awan tersebut. Hujan turun selama berjuta-juta tahun untuk menjadi laut dan lautan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan